Sunday 5 April 2009



CABARAN YANG TERPAKSA DILALUI SEPANJANG BERKECIMPUNG DALAM BIDANG PENULISAN
Sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang penulisan terutamanya puisi, beliau mengakui bahawa pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi dan cabaran–cabaran inilah yang menguatkan semangat beliau untuk terus terlibat dalam bidang penulisan. Antara cabaran-cabaran yang terpaksa beliau tempuhi adalah cabaran dari segi ketidakcukupan masa. Penulis yang menggunakan nama pena ANISMAS AR ini tidak gemar membuang masa kerana beliau beranggapan masa begitu berharga dan kita perlu mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Sejak kecil lagi, beliau telah diasuh dan dididik oleh kedua ibu bapanya agar bijak menguruskan setiap ruang waktu yang ada supaya dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Namun, kekangan masa yang dihadapi tidak memudarkan minat beliau untuk terus berkarya. Sebaliknya, waktu- waktu terluang diisi dengan karangan bait-bait puisi yang puitis. Justeru, puisi-puisinya kerap menghiasi majalah-majalah seperti majalah Al-Islam dan Dewan Sastera.
Selain masalah ketidakcukupan masa, beliau juga terpaksa mengimbangi antara minat dengan keluarga agar kedua-duanya dapat diuruskan dengan baik. Ibu kepada tiga orang anak ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarga tercinta walaupun sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah dan juga menjawat jawatan Penyelaras Program Kesusasteraan Melayu dan Puisi Melayu bagi program sarjana dan doktor falsafah di UPM. Akan tetapi, beliau bersyukur kerana hidup dalam sebuah keluarga yang memahami karier dan minatnya. Menurut beliau, ahli keluarganya terutama suami dan anak-anak tersayang tidak pernah melarang beliau untuk terus berkarya bahkan mereka tidak jemu-jemu meniupkan kata-kata semangat dan sentiasa mendoakan agar beliau sentiasa berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Akibat kekangan masa dan sibuk dengan pelbagai aktiviti serta tugas-tugas harian, beliau terpaksa menunggu lama untuk menerbitkan buku kumpulan puisi perseorangannya yang berjudul Anggur kehidupan. Ini adalah satu lagi cabaran yang terpaksa ditempuhinya. Namun, berkat kesabarannya, buku puisi yang berjudul Anggur Kehidupan berjaya juga diterbitkan pada tahun 2002. Pada tahun 2006, buku kumpulan puisinya yang kedua pula menyusul. Kali ini ,bukunya bertajuk Melepasi Aksara Usia Itu. Tampoh masa yang diambil oleh beliau untuk mengumpul dan menyiapkan puisi- puisinya sehingga lengkap menjadi satu buku ialah selama 6 bulan iaitu dari bulan April hingga bulan September.
Kesungguhan dan kecekalan beliau dalam arena penulisan ini patut dicontohi oleh penulis-penulis baru kerana pengalaman dan buah fikiran yang dilontarkan amat berharga untuk digunakan sebagai panduan dalam bidang penulisan puisi. Usaha beliau dalam bidang penulisan ini juga patut dihargai kerana melalui karya-karya yang dihasilkan dapat menjana aspirasi kesusasteraan yang tinggi selain meninggalkan impak pemikiran kreatif dan membina.

No comments:

Post a Comment