Thursday 9 April 2009











KITA HANYALAH FAKIR DUNIA (nukilan dr. samsina)

selagi diri mersa tinggi

tak kan kaukenali rumput di bumi

selagi diri merasa gagah


tak kan kau insafi ertinya lemah

selagi diri tak merasa kerdil

tak kan kau mampu bersikap adil

selagi diri tak meras fakir

rasa simpati tak kan lahir

selagi diri merasa berkuasa

tak kan kau kenali erti terseksa

selagi diri tak merasa hamba

tak kan kau kenali Al-Khaliq

Maha Pencipta

Maha Pemberi

Maha Perkasa

Maha Adil

Maha Agung lagi Bijaksana

Maha Berkuasa lagi Pengasih

tanpa batas waktu dan ruang

di dunia fana dan di alam baqa.

--------------------------------








====PENULIS KREATIF====
DR SAMSINA ABDUL RAHMAN (ANISMAS AR)
PENSYARAH FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI, UPM

Tuesday 7 April 2009




==== SESEKALI MENGINGATI MATI ====
Sesekali mengingati mati
Hati jadi ngeri
Lalu menginsafi diri

Sesekali mengenag mati
Bisikan Jahalahab cuba menafi
Hadirnya saat kembali

Sesekali mengingati mati
Kupaksa diri mrnyakini pasti
Itu akan terjadi

Sesekali mengingati mati
Hidup hanyalah mimpi
Terlalu sementara menghuni

Sesekali mengenang mati
Dunia fana tiada bererti
Kecuali sesuatu yang dicari
Untuk bekalan di kemudian nanti

Lantas
Ingatkan diri
Untuk terus mengingati mati
Yang pasti menyapa diri
Entah esok
Entah hari ini
Entak saat sedetik lagi
Sebelum alpa melalaikan hati
Sebelu kesal menyelubungi diri
Ketuklah pintu taubat
Masuku lorong insaf
Menuju taqwa

=== nukilan anismas ar ===










MELEPASI AKSARA USIA ITU

===========================


Melepasi aksara usia itu
Kupilih bicara diam
Melayari lautan syukur
Sujud bertafakur
Kubajai benih-benih insaf
Menyubur pohon hayat


Melepasi aksara usia itu
Kupilih bicara bisu
Mengukir mangguk madu ilmu
Bermunajah-berfikrah
Menggilap cermin diri
Mengenal maknawi


Melepasi aksara usia itu
Kusiram daun-daun sabar
Kubelai bunga-bunga murni
Agar besar rendang
Menjadi naungan
Payung kemuliaan


Mengakrab Ilahi
Mensuci insani


Melepasi aksara usia itu
Kupohon insan kasih Mu
Suburmakmurkan pohon hayat
Sinarpancarkan cermin diri
Kembangmekarkan bunga-bunga murni
Hijaurimbunkan pohon-pohon sabar
Teguhkukuhkan mangkuk madu ilmu
Memurni duniawi
Mensuci ukhrawi
Mengharmoni kosmos-Mu
Menuju fitrah hakiki






=========================
aKu PinGiN pUnYa MiMpI
=======================
Aku pingin punya mimpi…
Mimpi tentang apa saja…
Mimpi tentang masa depanku…
Mimpi tentang cinta…
Tapi aku tidak punya mimpi…
Atau mungkin aku tidak berani untuk bermimpi…
Namun, aku pingin untuk menyimpan mimpi-mimpi itu…
Untuk aku kembali bermimpi…
Menggapai semua mimpi-mimpiku tika aku dalam lena…
Mungkin juga dalam jaga… (anismas ar)


SASTERA DAN PENULISAN KREATIF


Menurut, ANISMAS AR atau Dr. Samsina Abd.Rahman, kesusasteraan adalah satu ilmu yang bersifat seni iaitu satu ilmu untuk menerangkan tentang keindahan sesebuah bahasa. Melaluinya, kita dapat menggarap bahasa tersebut menjadi ayat-ayat yang puitis dan mampu memberi kesan yang mendalam kepada pembaca.
Manakala, penulisan kreatif pula adalah perihal memiliki kebolehan dan kemampuan untuk mencipta sebuah karya yang bermutu tanpa sebarang unsur peniruan. Maksudnya, seseorang penulis dapat menyumbangkan sebuah karya yang mantap, segar dan menarik.
Oleh itu, bagi mereka yang meminati bidang penulisan, khasnya penulisan kreatif haruslah pandai merebut peluang yang ada dan sentiasa berfikir di luar kontak agar hasil karya yang dihasilkan nampak lebih matang dan lain dari yang lain.





BUKU-BUKU ANISMAS AR
=======================

= BUKU ANTOLOGI PUISI, ANGGUR KEHIDUPAN(2002)


= BUKU ANTOLOGI PUISI, MELEPASI AKSARA USIA ITU (2006)

Monday 6 April 2009


NAK JADI PENULIS??? APA PENDAPAT ANISMAS AR...

Dr. Samsina mengatakan bahawa antara krateria-krateria yang perlu ada pada seseorang penulis yang kreatif ialah mempunyai minat yang mendalam dalam dalam bidang penulisan,baik penulisan kreatif mahupun kesusasteraan.Hal ini kerana, hanya melalui minat sahajalah bakat seseorang dapat dipupuk dan disemai sedikit demi sedikit.
Selain mempunyai minat, seseorang penulis juga perlu memiliki daya sensitiviti yang tinggi. Ini bermakna, penulis mesti peka dan sentiasa menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu, penulis harus menggunakan kelima-lima pancaindera dengan bijak supaya dapat memupuk perasaan dan emosi para pembaca.
Di samping itu, penulis yang kreatif juga digalakkan agar membaca karya-karya orang lain dan mendalami pelbagai ilmu.Justeru, ilmu-ilmu yang kita pelajari itu dapat kita jadikan panduan sewaktu kita berkarya. Hal ini kerana, karya yang bermutu adalah yang ditulis tanpa meniru karya orang lain. Maka, karya seseorang penulis mestilah asli dan original dari penulis itu sendiri.
Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa untuk menjadi penulis yang kreatif, kita hendaklah mengambil kira pelbagai aspek, antaranya ialah ketulenan sesebuah hasil karya. Melalui sumbangan karya yang bermutu, kita dapat menjana tahap pemikiran yang tinggi dan kreatif selain dapat meningkatkan lagi mutu dalam bidang penulisan di negara kita.



DR SAMSINA DAN ANUGERAH....




ANUGERAH YANG DITERIMA DALAM BIDANG PENULISAN



Sepanjang pengelibatannya dalam bidang penulisan, Dr. Samsina Abd. Rahman atau ANISMAS AR, telah menerima dan menyandang pelbagai anugerah.

Antaranya ialah:

# Hadiah Sastera Darul Takzim dari tahun 2001 sehingga 2005 (termasuklah hadiah sastera Darul Takzim ke-3 dan ke-4 dalam katogori esei kritikan sastera dan kumpulan puisi).


# Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2001/2002.



# Hadiah Syembara Penulisan Kreatif dan Kritikan Sastera 1986































































































KHABAR DARI PENCINTA SASTERA
(AMISMAS AR)
Samsina Abd. Rahman, dilahirkan pada 19 Januari 1962 di Kampung Serom 5, Sungai Mati, Muar, Johor Darul Takzim. .Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau memiliki sebuah keluarga yang besar kerana beliau mempunyai seramai 14 orang adik- beradik kesemuanya. Anak ketiga dalam keluarga ini meminati bidang penulisan sewaktu beliau berada di bangku sekolah lagi. Ketika itu, beliau hanya menulis puisi-puisi untuk dimuatkan dalam majalah sekolah sahaja.
Namun, minatnya tidak bekubur di situ. Sebaliknya, beliau semakin giat memperkembangkan bakatnya dalam bidang penulisan sajak apabila beliau menjejakkan kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang kesusasteraan dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Sastera.. Sewaktu di universiti ( UKM), beliau telah menulis banyak sajak. Antara sajak yang yang dikarangnya ialah sajak yang bertajuk Pelayaran (1985). Bak kata pepatah, tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Sajak Pelayaran yang ditulis beliau termuat dalam sebuah majalah dan telah memenangi pelbagai anugerah.
Beliau mula bertugas UPM sejak tahun 1990,apabila memperolehi Ijazah Sarjana Persuratan. Berkat kegigihan dan semangat cintakan ilmu,beliau telah berjaya pula memiliki Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1998 dan beliau kini turut mengajar kursus Falsafah dan Pengajian Kesusasteraan Melayu di UPM. Selain itu, beliau juga mengajar kursus program Bacelor Puisi Melayu dan program Master Kesusasteraan Melayu Mistik. Di samping itu, sebelum memegang jawatan sekarang, beliau pernah menjadi pembantu pengajar di IBKKM, UKM (1987-1998), pernah bertugas sebagai editor dan pegawai istilah di Pejabat Penerbitan ,UKM serta pernah menjadi pembantu penyelidik di bawah kelolaan Prof. Ismail Hussein, di UKM.
Walaupun, sibuk dengan pekerjaannya sebagai pensyarah, beliau masih sempat menghasilkan puisi-puisi untuk Majalah Al-Ialam dan Dewan Sastera. Berkat ksungguhan beliau, puisi-puisi yang dikarangnya telah memenangi pertandingan peringkat universiti dan inter-universiti. Selain itu, beliau juga banyak menghasilkan penyelidikan dan kertas kerja yang berkaitan dengan Kesusasteraan Islam. Beliau kini menyandang jawatan Penyelaras Pengajian Siswazah, di Jabatan Bahasa Melayu. Selain itu, beliau juga turut terlibat dalam aktiviti sastera termasuklah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu,Seminar Pemikiran Hamka dan Sheikh Daud Al-Patani,Saminar Serantau Bahasa dan banyak lagi.
Sumbangan dan kegigihan beliau dalam mengangkat martabat bahasa dan kesusasteraan harus dipuji dan dicontohi kerana sikap beliau yang gemar berkarya telah banyak memberi impak yang baik dalam bidang penulisan di Malaysia.

Sunday 5 April 2009



CABARAN YANG TERPAKSA DILALUI SEPANJANG BERKECIMPUNG DALAM BIDANG PENULISAN
Sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang penulisan terutamanya puisi, beliau mengakui bahawa pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi dan cabaran–cabaran inilah yang menguatkan semangat beliau untuk terus terlibat dalam bidang penulisan. Antara cabaran-cabaran yang terpaksa beliau tempuhi adalah cabaran dari segi ketidakcukupan masa. Penulis yang menggunakan nama pena ANISMAS AR ini tidak gemar membuang masa kerana beliau beranggapan masa begitu berharga dan kita perlu mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Sejak kecil lagi, beliau telah diasuh dan dididik oleh kedua ibu bapanya agar bijak menguruskan setiap ruang waktu yang ada supaya dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Namun, kekangan masa yang dihadapi tidak memudarkan minat beliau untuk terus berkarya. Sebaliknya, waktu- waktu terluang diisi dengan karangan bait-bait puisi yang puitis. Justeru, puisi-puisinya kerap menghiasi majalah-majalah seperti majalah Al-Islam dan Dewan Sastera.
Selain masalah ketidakcukupan masa, beliau juga terpaksa mengimbangi antara minat dengan keluarga agar kedua-duanya dapat diuruskan dengan baik. Ibu kepada tiga orang anak ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarga tercinta walaupun sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah dan juga menjawat jawatan Penyelaras Program Kesusasteraan Melayu dan Puisi Melayu bagi program sarjana dan doktor falsafah di UPM. Akan tetapi, beliau bersyukur kerana hidup dalam sebuah keluarga yang memahami karier dan minatnya. Menurut beliau, ahli keluarganya terutama suami dan anak-anak tersayang tidak pernah melarang beliau untuk terus berkarya bahkan mereka tidak jemu-jemu meniupkan kata-kata semangat dan sentiasa mendoakan agar beliau sentiasa berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Akibat kekangan masa dan sibuk dengan pelbagai aktiviti serta tugas-tugas harian, beliau terpaksa menunggu lama untuk menerbitkan buku kumpulan puisi perseorangannya yang berjudul Anggur kehidupan. Ini adalah satu lagi cabaran yang terpaksa ditempuhinya. Namun, berkat kesabarannya, buku puisi yang berjudul Anggur Kehidupan berjaya juga diterbitkan pada tahun 2002. Pada tahun 2006, buku kumpulan puisinya yang kedua pula menyusul. Kali ini ,bukunya bertajuk Melepasi Aksara Usia Itu. Tampoh masa yang diambil oleh beliau untuk mengumpul dan menyiapkan puisi- puisinya sehingga lengkap menjadi satu buku ialah selama 6 bulan iaitu dari bulan April hingga bulan September.
Kesungguhan dan kecekalan beliau dalam arena penulisan ini patut dicontohi oleh penulis-penulis baru kerana pengalaman dan buah fikiran yang dilontarkan amat berharga untuk digunakan sebagai panduan dalam bidang penulisan puisi. Usaha beliau dalam bidang penulisan ini juga patut dihargai kerana melalui karya-karya yang dihasilkan dapat menjana aspirasi kesusasteraan yang tinggi selain meninggalkan impak pemikiran kreatif dan membina.

KETIKA DAN KALIMAT


Aku kini menuntut di dalam semester akhir, Bacholar Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu. Dalam semester akhir ini, aku diwajibkan untuk mengambil kursus Bahasa dalam Multimedia, BBM 3410, dengan nilai tiga jam kredit. Kursus ini dikendalikan oleh seorang pensyarah yang berkaliber, iaitu Dr. Normaliza. Secara umumnya, kursus ini memberi penekanan kepada pembacaan berbantukan komputer, menggalakkan penggunaan IT untuk kecekapan berkomunikasi, memberi pendedahan kepada penggunaan multimedia dan mendorong para pelajar untuk menggunakan lebuh raya maklumat dengan kecekapan teknologi secara tuntas dan berterusan. Oleh itu, kursus ini sememangnya sesuai kepada para pelajar, terutamanya penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi, kerana pendedahan tentang ilmu teknologi dan multimedia yang diterapkan di dalam kursus ini memberi manfaat yang besar jika telah bergraduat dan memasuki alam pekerjaan. Rasa teruja berbaur sedikit takut untuk aku memulakan pembelajaran bagi subjek ini pada awanya. Jika ditanya mengapa takut? aku tiada jawapan untuk soalan itu. Apa yang pasti, aku bakal mempelajari pelbagai benda baru di dalam kursus ini


Minggu Pertama

Hari rabu. Kelas bermula tepat pukul 12 tengah hari, di bilik kuliah, Bilik Jauhari. Seminit pun tidak kelewatan. Tidak banyak yang kami belajar pada hari pertama kelas BBM3410. Dr. Normaliza, selaku pensyarah kursus ini sekadar memberi pengenalan awal tentang kursus yang bakal kami pelajari. Selain itu, beliau mengingatkan kami agar datang ke kelasnya tepat pukul 12. Ada satu hal lagi yang beliau bicarakan pada hari itu. Kata beliau, pelajar yang ingin mengikuti kursus dibawahnya harus berpakaian kemas. Tiada yang datang dengan menyarungkan atau memakai “selipar jamban”. Selain itu, mesti memenuhi tempat duduk di ruangan hadapan dahulu. Katanya, mereka yang sentiasa di hadapan adalah mereka yang menunjukkan minat untuk belajar dan bersungguh dalam menimba ilmu. Manakala, pelajar yang duduk di bahagian belakang dikira tidak hadir. Cuak juga pelajar-pelajar yang duduk di ruangan belakang. Aku salah seorang daripadanya.
Jika difikir sejenak, pendekatan seperti ini memberi banyak impak yang positif. Pertamanya, dilatih untuk menjadi seorang individu yang menepati masa. Kedua, kita diajar cara-cara untuk menjaga penampilan diri (berpakainan kemas) dan yang terakhir kita digalakkan untuk menjadi individu yang terkehadapan. Bermakna, sentiasa menjadi yang pertama dalam segala hal. Benar! Hari ini, aku belajar sesuatu yang baru. Belajar untuk menjadi individu yang menepati masa, belajar untuk menjadi individu yang berketerampilan dan belajar untuk menjadi orang yang pertama. Sebetulnya, pensyarah kursus ini telah mengajar kami sesuatu yang bernilai. Beliau sebenarnya ingin melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan berbudi tinggi.
Pada pertemuan yang awal ini juga kami telah diminta untuk membuat satu kumpulan. Setiap kumpulan haruslah seramai enam orang. Kumpulan aku, dikenali sebagai Kumpulan APOLLO. Macam nama roket kan? Harap-harap, ahli kumpulan kami mampu menyelesaikan tugasan yang diberi sepantas roket APOLLO. Kumpulan APOLLO dianggotai oleh aku sendiri, Bee, Iffa, Effa dan Ayu.


Minggu Kedua

Kami semua datang awal ke kelas, sebelum pukul 12. Bimbang kalau-kalau lewat. Jam 12, pembelajaran dimulakan. Hari ini, kami diajar tentang asas-asas grafik. Secara amnya, asas grafik meliputi lima komponan penting, iaitu mudah, teks, warna, keseimbangan, dan kesesuaian. Penerapan asas grafik ini amat mustahak jika ingin menghasilan gambar-gambar yang menarik dan papan-papan iklan yang lengkap, padu dan sempurna. Justeru, kami telah didedahkan kepada perkara-perkara ini sedari awal sebelum kami melangkah untuk melakukan sesuatu yang lebih mencabar minda. Lagipun, sebarang perkara yang kami lakukan dalam multimedia, sememangnya tidak lari daripada penerapan lima asas grafik ini.
Minggu ini, kami diberi tugasan untuk membuat papan iklan. Kami telah diminta supaya menyediakan majalah-majalah lama, enam keping kertas keras, reben, gunting, penebuk lubang dan juga gam. Dalam tempoh masa satu jam, kami telah diarahkan oleh pensyarah kursus untuk menyelesaikan tugasan terbabit. Dalam tugasan ini, kami perlu mencari gambar-gambar yang memenuhi ciri-ciri asas grafik dan menampalnya pada kertas keras yang telah tersedia. Tampalan gambar itu haruslah kemas, cermat, bersih dan teliti. Kami juga perlu memastikan tiada sedikit pun gelembung-gelembung udara yang mememuhi ruang antara gambar yang telah ditampal. Susahnya! Benar-benar bekerja dalam tekanan. Penelitian dan kekemasan perlu kami titikberatkan. Jangka waktu satu jam yang diberikan kami rasakan begitu singkat. Biar pun, tugasan yang kami harus lakukan tampak senang, tapi sebenarnya begitu sukar. Komitmen yang tinggi daripada setiap ahli kumpulan diperlukan untuk menghasilkan sebuah produk yang berkualiti dan diperakui. Pada setiap bahagian belakang gambar yang telah ditampal, kami harus menampal pula ciri-ciri lima asas grafik yang bersesuaian dengan gambar yang telah dipilih. Proses yang terakhir untuk melengkapkan tugasan ini, ialah dengan menebuk lubang pada setiap kertas keras yang telah ditampal gambar-gambar yang bersesuaian, kemudian ikatkannya dengan reben nengikut kreativiti masing-masing. Berkat kesungguhan dan ketekunan kami, akhirnya tugasan itu berjaya kami siapkan dalam jangka waktu yang dikehendaki. Walaupun agak tertekan sepanjang melakukan tugasan tadi, namun hati kami benar-benar puas apabila tugasan itu siap sepenuhnya. Memang berbaloi kesungguhan dan komitmen yang kami curahkan.
Manakala, di dalam kelas tutorial pada keesokan harinya, kami diajar cara-cara untuk membuat “slide show” menggunakan Microsoft Office Power Point, oleh Cik Aliaa, selaku tutor kelas kami. Pada hari itu, kami dikehendaki memilih satu tajuk yang berkaitan dengan isu semasa dan membuat “slide show” bedasarkan tajuk yang dipilih. Aku sedikit buntu untuk memilih tajuk bagi tugasan ini. Hal ini kerana, setiap individu harus memilih tajuk yang berbeza. Tajuk yang sama tidak diterima. Fikir punya fikir, akhirnya aku memilih “Songket” sebagai tajuk tugasanku. Dalam menghasilkan “slide show” ini, sekali lagi ciri-ciri asas grafik perlu diterapkan. Di samping itu, kami juga harus masukkan gambar-gambar yang berkaitan, animasi dan effect yang bersesuaian serta lagu untuk melengkapkan “slide show” yang dikehendaki. Seronok juga rasanya. Walaupun sebelum ini aku sudah acap kali membuat “slide show” untuk pembentangan tugasan, tapi rupa-rupanya banyak lagi perkara baru yang belum aku pelajari dalam perisian Microsoft Office Power Point ini. Beruntung aku diwajibkan untuk mengambil kursus ini. Kelas ini berlangsung selama dua jam dan tamat pada pukul tujuh petang.


Minggu Ketiga

Seperti minggu sebelumnya, kelas BBM3410 sudah dipenuhi pelajar sebelum tiba jam 12. Minggu ini kami diarahkan supaya membawa komputer riba (laptop). Penuh dengan tanda tanya dan debaran di dada. Kali ini, tugasan apa pula yang bakal diberikan oleh Dr. Nomaliza. Sukar untuk dijangka. Rupanya, kami perlu mengarang esei sebanyak lapan halaman. Tempoh masa yang diberi ialah dua jam. Setiap kumpulan diberi satu tajuk yang berlainan. Kumpulan aku mendapat tajuk “Pengaruh imej kartun dalam pembentukan minda kreatif dan inovatif kanak-kanak”. Nampaknya, kami perlulah kembali ke zaman kanak-kanak . menyelami kembali apa yang telah kami terokai ketika masih kanak-kanak. Langkah pertama yang perlu kami lakukan untuk mengarang esei, ialah membuat draf atau melakar isi-isi penting yang ingin kami huraikan didalam esei yang bakal kami karang sebentar lagi. Draf yang dilakar itu, mestilah mendapat pesetujuan daripada pensyarah terlebih dahulu. Apabila sudah diterima, kami pun mula mengarang. Segala komentar dan idea yang bermain di minda telah kami curah dan gabung menjadi satu. Tapi, itu belum cukup untuk memenuhi enam helaman. Masa semakin suntuk. Tugasan yang telah disiapkan hendaklah diemailkan kepada doktor, sebelum pukul dua. Aduh, peningnya! Kami hanya dapat menyiapkan sebanyak empat muka surat. Tugasan yang tidak memuaskan. Akhirnya, kami diberi peluang kedua untuk membaiki dan menambah lagi isi-isi yang berkaitan supaya tugasan kami benar-benar lengkap.
Kelas tutorial pada minggu ini juga berjalan seperti biasa, dengan bimbingan Cik Aliaa. Kami masih lagi menyiapkan tugasan kami yang terbengkalai pada minggu lepas, iaitu membuat “slide show” dengan menggunakan Microsoft Office Power Point. Pada minggu hadapan, semua pelajar harus membuat pembentangan tentang tajuk yang telah mereka pilih. Masa pembentangan telah ditetapkan selama tiga minit.


Minggu Keempat

Kami dikehendaki membawa kamera digital. Pada minggu ini, Dr. Normaliza memulakan kelas dengan memperkenalkan transformasi teknologi, iaitu bagaimana manusia mencipta teknologi sehingga akhirnya mereka dapat berhubung antara satu sama lain, walaupun berada dalam jarak yang jauh. Pada awal penciptaan teknologi telekomunikasi, manusia hanya mencipta telegraf untuk berinteraksi secara dua hala. Kemudian, pada tahun 1844, moss/vail dan Atlantik Cable pula dicipta. Setelah itu, barulah kita diperkenalkan dengan telefon, yang dicipta oleh Alexender Graham Bell. Namun, semakin lama teknologi semakin berkembang pesat dan kita telah didedahkan dengan teknologi berkomputer serta maya. Oleh itu, kita dapat berhubung dengan individu di seluruh pelusuk dunia secara terus dengan menggunakan khidmat online sahaja. Begitu mudah bukan? Inilah kebaikannya jika seseorang itu benar-benar memanfaatkan teknologi.
Selesai sesi pengajaran dan pembelajaran, pensyarah kursus mengarahkan kami keluar di sekitar fakulti dan mengambil gambar. Gambar yang diambil kali ini juga mestilah tidak lari daripada penerapan lima asas grafik yang telah kami pelajari. Berpandukan gambar yang telah diambil, kami harus membuat persembahan multimedia, selama tujuh minit. Temanya berkisarkan tentang simpulan bahasa, peribahasa, bidalan dan juga kata-kata hikmat. Kumpulan aku memilih peribahasa. Jadi, kami harus mengambil gambar yang tepat sesuai dengan setiap peribahasa yang telah dipilih. Harus diingat, gambar yang diambil mestilah “hidup” dan menarik. Susah juga rupanya untuk dapatkan shoot yang terbaik. Baik ekspresi wajah atau mimik muka, mood, pergerakan, dan latar tempat semuanya memainkan peranan. Tapi, kami seronok kerana dapat belajar satu lagi perkara baru dan banyak peristiwa kelakar yang kami alami.
Sesi pembentangan “slide show” dalam kelas tutorial bersama Cik Aliaa. Setiap orang mesti mempersembahkan “slide” masing-masing. Oleh itu, kami harus bersedia dan memastikan persembahan “slide” kami berjalan lancar.


Minggu Kelima

Aku datang ke kelas kali ini agak lewat sedikit. Takut, memanglah takut. Tapi, aku bernasib baik kerana pensyarah belum tiba. Fuhh, selamat! Minggu ini, kami dikehendaki mempersembahkan persembahan multimedia yang telah kami siapkan. Setiap kumpulan dipanggil untuk memperlihatkan persembahan masing-masing. Tibalah masa dan ketikanya…Kumpulan APOLLO, tampil dengan persembahan multimedianya…Bagi aku, kumpulan kami telah membuat persembahan yang begitu kreatif dan menarik. Bukan ingin “masuk bakul angkat sendiri”, tapi entah kenapa aku rasakan kami telah memperlihatkan sesuatu yang lain dari yang lain.
Dalam kelas tutorial minggu ini, kami belajar cara-cara untuk membuat kalendar. Kami diberi kebebasan untuk merekabentuk kalendar kami sendiri mengikut citarasa dan kreativiti masing-masing. Kami telah diajar cara-cara untuk masukkan gambar, mengedit gambar dan meletakkan “effect” pada gambar agar kalendar yang bakal kali hasilkan nanti cantik.


Minggu Keenam

Setiap minggu, kami pastinya akan diberikan tugasan yang berbeza. Pada minggu ini kami dikehendaki membawa pensil warna dan lima helai kertas lukisan. Apa yang perlu kami lakukan? Tunggu dan lihat! Kami arahkan untuk membuat e-majalah. Dalam pembikinan e-majalah ini, kamu harus memilih tema terlebih dahulu. Tema yang dipilih oleh kumpulan APOLLO ialah muzik. Langkah seterusnya, kami dikehendaki membuat papan cerita tentang apa yang ingin dipaparkan dalam e-majalah yang akan kami siapkan nanti. Papan cerita itu, mesti mendapat persetujuan daripada pensyarah kursus terlebih dahulu. Setelah dipersetujui, kami mula membuat draf kasar untuk e-majalah kami. Draf yang dilakar berkisarkan tentang apa yang ingin kami tulis (teks), siapa sasaran audiens kami, gambar yang bagaimana yang ingin kami masukkan (grafik), dan adakah gambar tersebut sesuai atau tidak dengan tema yang telah kami pilih. Setelah draf kasar dibuat, kami mula membuat e-majalah. Kertas lukisan yang disediakan, kami lipatkannya menjadi dua bahagian. Kemudian, setiap bahagian tadi kami nomborkannya dari muka surat pertama sehingga muka surat 20. Seterusnya, kami mula melukis gambar atau grafik yang sesuai dengan papan cerita yang telah tersedia dan kami masukkan teks-teks yang berkaitan. Selesai melakukan kerja-kerja itu, kami mula mewarna gambar-gambar yang telah siap dilukis tadi. Proses yang terakhir, ialah sunting dan edit kembali. Kami menyunting dan mengedit semula e-majalah yang telah siap agar tidak terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan. Setelah itu, barulah e-majalah kami dihantar.
Kelas tutorial minggu ini masih diteruskan dengan membuat kalendar. Hasil kerja kami dipantau oleh tutor. Aku tidak terkecuali. Rupanya, masih banyak lagi perkara yang perlu aku dalami jika ingin menghasilkan sebuah kalendar yang menarik dan berkualiti. Minggu hadapan merupakan minggu terakhir untuk menyiapkan kalendar. Jadi, aku perlu memperbaiki mutu kalendarku agar lebih baik dari sebelumnya. Kelas kami tamat pada pukul tujuh petang.





Minggu Ketujuh

Pada minggu yang ketujuh ini, kami telah diminta untuk menyenaraikan 20 kebaikan pengaruh bahasa dalam multimedia. Masa yang diberkan ialah dua jam. Setiap orang menyumbangkan lontaran idea masing-masing dan tugasan ini dapat disiapkan dengan jayanya.
Dalam kelas tutorial kali ini, kami dikehendaki menunjukkan kalendar yang telah kami siapkan. Setelah diterima, barulah kami boleh mencetak kalendar tersebut.


Minggu Kelapan

Kelas hari ini diambil alih oleh Dr. Arba’ie Sujud. Beliau mengajar kami tentang papan cerita, iaitu meliputi konsep papan cerita, tujuan papan cerita, prosedur penyediaan papan cerita dan masalah penyediaan papan cerita. Konsep sesebuah papan cerita meliputi skrip, maklumat, kandungan dan keperluan, serta yang terakhir intisari kandungan dan pemerincian. Sesebuah papan cerita mestilah mempunyai temanya yang tersendiri. Papan cerita sebenarnya merupakan lakaran bertulis yang masih dalam bentuk perancangan. Papan cerita yang lengkap haruslah disertakan dengan diskripsi yang teratur. Hal ini kerana, papan cerita dijadikan asas dan panduan untuk menyediakan instrument multimedia. Antara instrument multimedia yang perlu diterapkan, ialah grafik dan audio visual. Oleh itu, pengagihan terhadap aspek multimedia bersifat bersepadu. Selain itu, prosedur pembinaan sesebuah papan cerita pula melibatkan perancangan, perbincangan, perlaksanaan, mengenalpasti keperluan sesebuah papan cerita dan memasukkan elemen multimedia.
Setelah tamat sesi pengajaran, kami telah diberi satu tugasan untuk membuat papan cerita berdasarkan tema yang telah diberi. Temanya adalah bencana tsunami. Kami dikehendaki membina sebuah papan cerita yang lengkap, sempurna dan teratur. Kami perlu memasukkan elemen-elemen multimedia didalamnya. Dengan demikian, kami harus mengetahui terma-terma yang boleh dilakukan menggunakan komputer. Istilah-istilah seperti “seret dan letak”, “voice over”, “mouse click” dan “pop up” merupakan istilah lazim yang digunakan dalam papan cerita. Selain itu, kami juga harus menyaring maklumat yang sedia ada agar maklumat-maklumat yang penting dapat dikuasai oleh khalayak dengan gambaran yang jelas. Di samping itu, proses pemindahan maklumat juga perlu dilakukan sebaik mungkin supaya tiada sebarang maklumat penting yang tertinggal. Sekiranya berlaku kegagalan dalam pemindahan maklumat, fungsi multimedia sebagai medium yang membekalkan maklumat secara maksimum tidak tercapai.

Sewaktu kelas tutorial pula kami belajar bagaimana untuk membuat laman web. Di dalam laman web itu nanti, kami harus mempamerkan sekurang-kurangnya lima perkara. Antara perkara yang aku paparkan didalam laman webku, ialah biodata diri, gambar-gambar keluarga, anda dan tarikh lahir, aku vs cinta, cerita pendek, nukilanku dan sekadar renungan.


Minggu Kesembilan

Kelas pada minggu ini diajar kembali oleh Dr. Normaliza. Hari ini Dr. Normaliza menerangkan kepada kami semua tentang “billboard” (papan iklan). Setelah selesai memberi penerangan, kami telah diarahkan untuk membuat papan iklan. Dalam pembikinan papan iklan ini, kami harus memilih satu produk untuk diiklankan. Kami diberi lima keping kertas lukisan untuk menyediakan “billboard” atau papan iklan tersebut. Setiap sehelai kertas lukisan mewakili satu keluaran produk. Ini bermakna kami perlu menyiapkan sebanyak lima keluaran papan iklan. Setiap keluaran haruslah memaparkan gambar atau grafik yang berbeza.
Kumpulan APOLLO telah memilih untuk mengiklankankan jeans. APOLLO JEANS! Penyediaan papan iklan ini telah disediakan oleh dua orang pelukis yang berkaliber dari kumpulan APOLLO, iaitu Bee dan Effa. Manakala, yang lainnya melakukan proses suntingan dan mengedit mana yang perlu jika terdapat sebarang kesilapan dan kesalahan. Masa yang diberikan untuk menyiapkan “billboard” (papan iklan) ini ialah dua jam. Ketelitian dan kekemasan menjadi aspek penting dalam penyediaan papan iklan. Selain itu, ciri-ciri asas grafik juga perlu diambil kira supaya papan iklan yang akan terhasil nanti menarik dan seimbang. Pada awalnya, papan iklan yang telah kami siapkan tidak diterima. Tapi, bukan kesemuanya. Kalau tak salah aku, pada keluaran pertama dan ketiga. Jadi, terpaksalah kami melukis semula “billboard” atau papan iklan tersebut dan menghantarnya kembali.
Kelas toturial pada hari Khamis minggu ini masih lagi berkisarkan tentang laman web. Cumanya, pada petang itu, kami telah diminta untuk menunjukkan laman web kami yang telah siap dilinkkan. Markah akan diberikan. Setiap orang menunjukkan laman web atau “website” masing-masing untuk dinilai kreativitinya. Seterusnya, kami diajar cara-cara untuk menghasilkan “blog”. Tak lama lagi setiap aku akan memiliki “blog” sendiri. Selain menceritakan tentang kisah diriku sendiri, di dalam “blog” ini juga aku dikehendaki menceritakan tentang kisah seorang penulis. Penceritaannya termasuklah biodata penulis tersebut, hasil karyanya, anugerah-anugerah yang telah diterima, pengalaman manis dan pahit sepanjang berkecimpung dalam bidang penulisan dan nasihat beliau. Tokoh penulis yang aku pilih untuk diinterview, ialah Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin. Beliau merupakan seorang sasterawan yang disegani dan banyak menyumbang kepada dunia kesusasteraan dan penulisan kreatif tanahair. Beliau juga turut menyandang jawatan pensyarah di Universiti Putra Malaysia.





Minggu Kesepuluh dan Kesebelas

Kelas berjalan seperti biasa. Pembelajaran pada kedua-dua minggu ini berkisarkan tentang papan cerita, papan iklan dan juga laman web. Kelas tutorial masih lagi diteruskan dengan membuat “blog”


Minggu Kedua Belas

Pada minggu ini, kami diminta untuk mempersembahkan persembahan multimedia. Persembahan kali ini lebih mencabar daripada persembahan sebelumnya. Kami telah diminta untuk berkunjung ke rumah anak-anak yatim. Kunjungan untuk sebuah rumah anak-anak yatim dihadkan hanya untuk dua kumpulan sahaja. Kumpulan kami telah memilih Rumah Anak-Anak Yatim Al- Rohingyah, Selayang untuk dikunjungi. Rumah Anak-Anak Yatim Al-Rohingyah ini telah ditubuhkan pada tahun 1995, dan menempatkan seramai 103 orang anak-anak yatim yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan. Selain menjadi sebuah petempatan untuk anak-anak yang telah kehilangan ibu dan bapa, Rumah Anak-Anak Yatim Al- Rohingyah ini turut menjadi perlindungan buat anak-anak yang terbiar dan anak-anak yang terhimpit dalam kemiskinan. Rumah anak-anak yatim ini telah diasaskan atau dinaungi oleh Ustaz Hafiz Hashim Bin Qassim. Kunjungan kami ke rumah anak-anak yatim ini pada 21 April 2009 yang lalu telah disambut baik dan dialu-alukan oleh setiap penghuninya. Jelas tergambar kegembiraan dan keceriaan pada wajah mereka.
Banyak perkara yang dapat kami belajar dan selami sepanjang tempoh kunjungan ini. Wajah anak-anak yatim ini menceritakan seribu satu kisah duka. Kehilangan kedua orang tua yang tersayang memaksa mereka untuk hidup berdikari walaupun dalam usia yang masih begitu muda. Zaman kanak-kanak mereka tidak sebebas kanak-kanak yang masih memiliki ibu dan ayah. Zaman kanak-kanak mereka hanya dikelilingi teman-teman senasib. Segala suka dan duka hanya dikongsi bersama. Justeru, jika kita seorang manusia yang tahu tentang kemanusiaan, yang faham akan kedukaan mereka yang telah ditinggalkan dan yang mampu menyemai sedikit kasih dan sayang, selamilah hati dan perasaan anak-anak yatim ini agar mereka tahu masih ada insan lain yang menyanyangi dan menghargai mereka.
Setiap kumpulan dipanggil untuk mempersembahkan persembahan multimedia masing-masing. Tapi, kumpulan kami mengalami sedikit masalah dengan persembahan hari ini. “Movie maker” yang telah kami siapkan gagal untuk dimainkan. Risau, takut, panik, dan bimbang. Semua perasaan itu berbaur menjadi satu. Bee, yang paling aku kesiankan waktu itu. Mana tidaknya, sehari suntuk dia cuba baiki “movie maker” tersebut, tapi masih lagi gagal. Setelah menerangkan perkara yang sebenar kepada pensyarah kursus, akhirnya, kumpulan kami terpaksa melupakan niat murni untuk mempertonton “movie maker” kami. Apalagi, KOSONG markah. Sedih…Teruknya! Macam mana ni? Musibah ini benar-benar memberi pengajaran buatku. Aku dapat mengenali sahabat, yang benar-benar layak untuk digelar sahabat. Betullah kata orang, sahabat waktu gembira senang dicari, tetapi sahabat waktu kesusahan, satu dalam seribu. Pilihan terakhir, kami terpaksa merayu dan memohon kebenaran daripada Dr.Normaliza supaya memberi kami peluang kedua. Nasib baiklah rayuan kami diterima. Persembahan multimedia kami ditunda ke minggu hadapan. Leganya!


Minggu Ketiga Belas

Kelas pada minggu ini berjalan seperti biasa. Tiada yang berubah. Masih lagi perlu datang sebelum pukul 12. Aku bersama temanku, Bee menghadiri kelas seperi biasa. Ketidakhadiran, akan menjejaskan markah dalam kumpulan. Hari ini, kumpulan kami bakal mempersembahkan persembahan multimedia, setelah diberi peluang kedua oleh Dr. Normaliza. Syukur kerana masih diberi peluang. Persembahan multimedia kali ini berlangsung dengan baik dan jayanya. Sesudah selesai persembahan multimedia daripada kumpulan kami, aktiviti pembelajaran hari itu disusuli pula dengan tugasan di dalam kumpulan. Kali ini, kami bermain teka silang kata. Seronok! Rasa seperti kembali semula ke zaman kanak-kanak dulu. Waktu aku berada di sekolah rendah. Cikgu selalu bagi teka silang kata, kalau sesiapa yang dapat menjawab kesemuanya dengan betul, cikgu akan bagi hadiah. Aku selalu dapat hadiah pensel kayu warna merah, yang harganya dua puluh sen.
Teka silang yang diberikan keseluruhannya berkaitan dengan multimedia. Terdapat sebanyak 20 perkataan yang harus kami cari didalamnya. Markah akn diberi berdasarkan pungutan markah yang paling corot. Masa yang diberikan hanyalah selama 30 minit. Kumpulan kami dapat berapa? Cuba teka. Kumpulan APOLLO memperolehi markah sebanyak…biarlah pungutan markah itu menjadi rahsia sulit di bawah akta undang-undang kumpulan kami. Hari ini pembelajaran kelas kami sarat dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.
Selesai menyudahkan teka silang kata, kami diminta pula membuat origami. Masa yang diberikan untuk menyelesaikan origami ini juga 30 minit. Setiap kumpulan yang dapat menyelesaikan tugasan ini akan diberikan markah tambahan. Cara-cara membuat origami dipaparkan melalui slide. Bukan senang untuk menyiapkannya. Entah apa yang aku buat pun aku tak tahu. Langsung tidak menjadi. Bahkan, tak siap pun. Apa yang aku ingat, kertas itu aku lipatkan menjadi dua bahagian, kemudian aku lipatkan lagi menjadi segi empat sama. Setelah itu, aku lipatkan pula kedua-dua bahagian bucu sebelah atasnya. Jadi kapal terbang kertas! Macam roket APOLLO. Sesuailah dengan nama kumpulan kami, Kumpulan APOLLO. Moralnya, fahami betul-betul apa yang dikekendaki, jangan buat sesuka hati sahaja. Selain itu, setiap pekerjaan yang dilakukan sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi dan ketelitian yang jitu. Bukan itu sahaja, kerjasama antara ahli kumpulan juga menjadi teras penting untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.
Hari ini juga, aku dikhabarkan bahawa aku dikekendaki membuat tugasan terakhir, iaitu “KETIKA DAN KALIMAT”. Panjangnya mestilah tidak kurang dan tidak lebih daripada sepuluh muka surat, single spacing, font size 11, dan bertaipkan Bookman Ols Style. Antara isi-isi yang harus masukkan untuk tugasan “KETIKA DAN KALIMAT” ini, adalah pengalaman aku sepanjang mengikuti kursus dan apakah impak yang aku perolehi sepanjang aku mengikuti kursus ini.
Kelas tutorial untuk kumpulan dua pada hari ini dibatalkan dan diganti pada minggu hadapan. Minggu hadapan, kami dikehendaki memaparkan blog kami yang telah sepenuhnya siap.


Sepanjang 13 minggu mengikuti kelas BBM3410, Bahasa dalam Multimedia, banyak perkara baru yang aku pelajari dan terokai. Aku belajar untuk menjadi seorang mahasiswa yang berdisiplin dan menepati masa. Aku juga belajar menjadi seorang individu yang berketerampilan dan berpandangan jauh. Selain itu, kelas ini juga mengajar aku tentang erti sebuah persahabatan dan kasih sayang sesama manusia. Bukan itu sahaja, cara bekerja dalam kumpulan juga turut diterapkan. Di samping menyelami nilai-nilai kendiri yang menjurus ke arah perkara-perkara yang positif, aku juga belajar tentang ilmu-ilmu multimedia. Pendedahan terhadap ilmu ini akan berupaya melahirkan generasi yang celik IT. Justeru, kita secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada diri sendiri merasai kebaikan kesan daripada perkembangan teknologi itu sendiri.
Pembelajaran yang tuntas dan berterusan kepada ilmu multimedia dapat memberi manfaat kepada setiap individu untuk merekacipta laman web dan blog mereka sendiri. Melalui penghasilan laman web dan blog, seseorang itu dapat berhubung dan berkongsi pendapat dengan rakan-rakan dari seluruh negara hanya melalui jaringan internet. Justeru, memang tidak salahlah jika kursus BBM3410 menjadi kursus wajib universiti. Pelbagai perkara baru dan nilai-nilai yang positif dapat diperoleh sepanjang nengikuti kursus ini.